Thursday 11 February 2010

Mengapa ORANG KITA???

Atas permintaan orang ramai supaya BLOG saya ada di dalam bahasa Melayu, jadi kini saya mulakan blog KHAS di dalam BM.

Masalahnya bukannya tak mahu, tapi bila kerja-kerja menterjemahkan sesuatu dari satu bahasa ke bahasa yang lain memang pening di buatnya.

Lazimnya kalau dari segi 'linguistics' atau kajian bahasa... mengikut Teori 'Whorf-Sapir' dalam kajian bahasa... BUDAYA sesuatu bangsa itu terkandung di dalam bahasanya.

Antara kajian2 yang menarik yang telah di lakukan oleh kedua-dua pengkaji bahasa ini ialah bahasa golongan 'Eskimo' yang tinggal di kutub utara. Golongan Eskimo yang tinggal di kawasan yang senentiasa bersalji dan di liputi air-batu di katakan mempunyai 7 istilah untuk salji, bagi setiap jenis salji yang turun, samada secara deras, secara renyai-renyai... setiap jenisnya mempunyai 'perkataan khas' untuknya di dalam bahasa Eskimo yang tidak ada perkataan-perkataan sepertinya di dalam bahasa-bahasa lain. Ini jelas menunjukan budaya golongan Eskimo yang hidup di Kutub Utara.

Samalah juga apabila kita kadangkala ingin menterjemahkan satu istilah bahasa ke dalam bahasa yang lain, kadangkala atau lazimnya, kita akan menemui sesuatu perkataan yang tidak ada bahasa atau perkataan yang benar-benar 'tepat' untuk di terjemahkan.

Malah antara contohnya perkataan bahasa Inggeris yakni 'MEALS' yang berangkumi makan mengikut kadar waktu yang tepat dalam sehari. 'MEALS' lazimnya merangkumi ketiga-tiga, yakni sarapan pagi, makan tengahari, dan makan malam, atau 'breakfast', 'lunch', dan 'dinner'.
Bahasa Arab mempunyai perkataan tepat bagi 'MEALS' namun di dalam Bahasa Melayu pula kita tidak mempunyai SATU perkataan yang tepat yang dapat menggambarkan atau memberikan pengertian sama. Namun di sini sahaja kita dapat mengkaji dan melihat perbezaan dari segi BUDAYA dan ketamadunan.

Dari segi pengkajian Tamadun-tamadun yang maju, kita mempunyai Tamadun Barat, Tamadun Islam, Tamadun Cina yang terkenal dengan pencapaian dari segi penciptaan dalam bidang sains dan teknologi, penemuan dan juga dari segi penulisan ilmiah dan juga falsafah. Apabila sesebuah tamadun itu mencapai peringkat yang maju, lazimnya kemakmuran yang mereka capai juga akan mewujudkan kestabilan dari segi ekonomi atau kewangan dan wujudnya golongan-golongan kelas menengah atau berpendapatan tinggi dan juga menengah di mana mereka dapat menikmati jadual makanan harian yang stabil.

Kita harus ingat, bangsa Melayu kita berasal dari sebuah tamadun yang Feudal, yakni terbahagi mengikut darjat, di mana golongan teratas adalah golongan Di-Raja, manakala di tengah-tengahnya pula adalah golongan 'Bangsawan' yang kadangkala juga berketurunan di raja, manakala golongan-golongan yang lain pula, yakni rakyat biasa di panggil 'Golongan Merdeheka' terdiri dari golongan Petani, Peneroka dan Nelayan, di mana lazimnya sistem pegangan tanah pula lazimnya akan di miliki oleh golongan-golongan Raja atau Bangsawan yang memegang atau menakluki sesebuah Daerah di mana golongan rakyat biasa membayar 'sewa' atau cukai untuk tinggal di atas tanah Pembesar atau tanah milik Raja. Golongan yang paling bawah pula adalah golongan-golongan 'Hamba' yang terdiri dari dua jenis pula: yakni Hamba Abdi, yang kadangkalanya adalah 'tawanan perang' atau seseorang yang di lahirkan sebagai hamba dan tidak boleh memiliki harta, dan golongan hamba yang tinggi sedikit adalah Hamba Berhutang, yakni seseorang yang mempunyai hutang yang tinggi kepada seseorang, dan berkontrak bagi sesuatu jangka masa yang di tentukan dengan menjadikan dirinya hamba kepada orang yang dirinya berhutang itu untuk melupuskan hutang-hutangnya.

Antara sebabnya yang kita boleh lihat mengapa perkataan 'MEALS' tidak wujud sebuah perkataan yang 'tepat' di dalam Bahasa Melayu adalah kerana budaya lama golongan-golongan rakyat biasa atau 'Golongan Merdeheka' ialah:

"Kais Pagi makan pagi, kais petang makan petang."

Bak kata pepatah Melayu lama ini sudah menunjukan sistem ekonomi Melayu lama yang berasaskan buruh pekerjaan yang keras dan kehidupan sebagai petani ketika itu. Sekiranya seseorang itu tidak ke sawah, maka ia tidak akan cukup makan.

Bangsa dan Tamadun Melayu kita sekiranya kita lihat dari penubuhan kerajaan Empayar Melayu Melaka pun, hanya berusia 100 tahun+ sewaktu mula di jajah oleh golongan Portugis.
Belum sempat lagi tamadun kita berkembang maju di mana wujudnya dasar-dasar polisi seperti pendidikan setara untuk seluruh rakyat, atau mencapai kemakmuran yang sejagat yang dapat di nikmati oleh seluruh golongan bangsa Melayu...dah pun di jajah.

Sekiranya kita lihat perkembangan-perkembangan tamadun-tamadun lain di dunia ini yang mencapai tahap kemajuan yang tinggi, mereka lazimnya akan melalui proses-proses tertentu bagi mencapai kemajuan.

Antaranya:

- mempunyai sistem kehakiman dan perundangan,

- penemuan di dalam bidang sains dan teknologi

- penulisan dan hasil karya dari segi ilmu pemikiran atau 'falsafah'

- lahirnya golongan-golongan falsafah dan cendekiawan dari tamadun-tamadun
tersebut seperti Al-Farabi, Al-Khawarizmi, Rumi, Plato, Aristotle, Pythagoras,
Confucius
dan sebagainya.

- negara dan tamadun mereka mempunyai sekolah-sekolah atau menara gading
yang
terkenal yang menarik orang dari negara-negara dan benua lain untuk
datang
menuntut ilmu.

- mempunyai ekonomi perdagangan dan juga seni bina yang maju.

Sekiranya kita lihatkan... kebanyakan ciri-ciri ini terdapat pada Tamadun-tamadun yang lebih lama dan maju daripada tamadun Melayu kita seperti:

- Tamadun Barat ( Yunani, Rom- di warisi oleh benua Eropah termasuk golongan Inggeris )

- Tamadun Cina

- Tamadun Islam

Jadi sekiranya kita meneliti tamadun awal Melayu kita sendiri... sewaktu kita mula di jajah oleh golongan Portugis, tamadun Melayu ketika itu masih lagi sebuah tamadun Feudal yang masih di dalam proses pembangunan atau kurang matang, ibarat 'bayi lahir tidak cukup bulan' boleh di katakan. Kita tidak sempat mencapai tahap kemajuan yang setara dengan bangsa-bangsa yang datang berdagang di pelabuhan Melaka, dan kita sudahpun di jajah. Namun di sebabkan ini juga boleh di katakan sistem politik di negara Malaysia kita pun masih lagi 'tidak cukup matang' di mana para-para pemimpin dan ahli-ahli politik yang ada hari ini, terutamanya dari UMNO bersikap seperti golongan-golongan 'Bangsawan Feudal' yang tidak hormat pada undang-undang dan menganggap diri mereka sendiri adalah undang-undang.

Namun perkara yang paling menyedihkan sekali ialah golongan-golongan ahli politik UMNO terutamanya TIDAK mengajar orang-orang Melayu kita bagi mengamalkan sikap 'musahabah diri' dan sering kali menyuruh kita berbangga dengan 'warisan' kita, namun mereka tidak pernah mengkaji sejarah dengan lebih mendalam dengan membezakan pencapaian tamadun bangsa kita, dengan tamadun-tamadun bangsa Melayu.

Malah Tamadun ISLAM sendiri jauh lebih maju dan lebih hebat daripada ketamadunan Melayu sendiri yang tidak sempat berkembang maju pun ketika di jajah.

Namun ia bukannya sesuatua yang buruk sekiranya melihat latar belakang tamadun Melayu kita yang telah di cantas oleh golongan penjajah sebelum ia dapat berkembang. Ia cuma bermakna bahawa kita sebagai golongan atau bangsa Melayu mempunyai PELUANG untuk belajar daripada kejayaan dan juga kegagalan tamadun-tamadun bangsa yang lain yang telah naik dan turun selama berkurun-kurun lamanya. Ia cuma bermakna, kita sebagai golongan Melayu mempunyai PILIHAN untuk memilih arah tujuan bangsa sendiri dengan belajar daripada setiap arah tuju yang telah di ambil oleh tamadun-tamadun bangsa yang telah wujud sebelum ini.

Di sinilah sejarah memainkan peranan yang penting bagi kita supaya kita sebagai sebuah bangsa tidak melakukan kesilapan yang SAMA yang telah di lakukan oleh tamadun-tamadun bangsa di dunia yang telah wujud lebih lama dan jauh sebelum kita.

Kepimpinan yang bijak dan berilmu pengetahuan, termasuk rakyat yang berilmu pengetahuan juga memainkan peranan penting dalam arah masa depan sesebuah bangsa.

Namun di sebabkan ini juga saya memilih tajuk "Orang 'Melayu' KITA!" sebagai tajuk utama untuk BLOG saya ini. Kerana saya ingin sama-sama mengajak saudari-saudari sebangsa dengan saya melakukan apa yang TIDAK di lakukan oleh kepimpinan UMNO hari ini yang sepatutnya menjadi TANGGUNGJAWAB parti UMNO sendiri kepada nasib dan masa depan orang-orang Melayu kita; yakni MENUMPUKAN PERHATIAN kepada segala masalah-masalah yang berlaku melibatkan bangsa dan golongan orang-orang Melayu kita sendiri.

Masalah-masalah yang seringkali di abaikan oleh UMNO pada hari ini dengan memberikan pelbagai alasan oleh kerana MUTU kepimpinan di dalam UMNO sendiri yang seperti bak kata pepatah Tun Dr. Mahathir sendiri 'busuk sampai ke usus' atau 'rotten to the core'.

Sememangnya kekadang perkara-perkara yang buruk dan tidak baik mengenai bangsa kita sendiri PAHIT untuk di dengar dan sedih bagi mulut kita mengucapkan, tetapi kebenaran itu lazimnya pahit seperti ubat... perkara-perkara yang mungkar itu di dunia ini lazimnya 'manis'.
Namun sekiranya kita dapat belajar menelan yang pahit itu, seperti ubat juga, ia akan menjadikan diri kita lebih teguh dan kuat peribadi kita.

Saya berharap di blog ini saya dapat berkongsi sedikit sebanyak ilmu pengetahuan yang ada pada diri saya ini bersama saudara-saudari.

Wassalam...

No comments:

Post a Comment